Friday, August 4, 2017

Mahathir Berjuang Untuk Jatuhkan Najib Atau Tolak UMNO?


SERANGAN terhadap Dr Mahathir Mohamad kini datang dari pelbagai arah: termasuklah dari Putrajaya yang menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyelongkar skandal perdagangan matawang Bank Negara Malaysia (BNM) semasa beliau masih menjadi perdana menteri.



Beliau juga diserang kerana menyekat kebebasan badan kehakiman dan media, manakala minggu lalu Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pula mengungkit susur galur keturunannya berdarah India.

Bagaimanapun, dari satu sisi lain terdengar orkestra tanda tanya yang mempersoalkan apakah Dr Mahathir, yang sekarang mengetuai barisan pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Harapan, sudah cukup berjasa, setidak-tidaknya, kepada orang Melayu.

Menjawab hal ini, bekas perdana menteri itu berkata persoalan itu pada akhirnya menjurus kepada bagaimana rakyat menanggapi sumbangan baktinya.

“Apakah saya memburukkan (keadaan) orang Melayu? Saya tolong orang Melayu.

“Yang memburukkan orang Melayu ialah Najib. Tiba-tiba orang Melayu yang dikenali dari Malaysia yang membangun dengan pesat sekarang ini dikenali (di)seluruh dunia sebagai negara yang dipimpin pemimpin yang ada kontroversi.

“Siapa yang buat buruk bagi orang Melayu, saya atau dia?” katanya, merujuk kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Ditanya tentang kedudukan orang Melayu sekarang, Dr Mahathir cepat membalas, “lebih buruk”.

“Jadi lebih buruk kerana dapat pemimpin keturunan Bugis tetapi mengaku dia Melayu.

“Orang ini mengaku dia kena guna duit, cash is king.

“Yang jadi buruk kepada orang Melayu pasal ada pemimpin macam inilah,” katanya.

Dr Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri pada 31 Oktober 2003.

Biarpun mengaku gagal mengubah sikap dan nilai orang Melayu, Dr Mahathir mengimbau kejayaan pentadbirannya meningkatkan jumlah profesional seperti doktor, jurutera, pengurus dan usahawan dalam kalangan orang Melayu.

Dr Mahathir membuat kejutan pada perhimpunan agung Umno 15 tahun lalu apabila melahirkan rasa kecewa dan memohon maaf atas kegagalannya mengubah sifat dan budaya orang Melayu.

“Saya telah cuba sedaya upaya… Saya pohon maaf kerana kegagalan saya,” katanya dalam ucapan membuka Perhimpunan Agung Umno pada 20 Jun 2002.

Dua hari kemudian, pada hujung ucapan penggulungannya menutup perhimpunan, Dr Mahathir mengumumkan peletakkan jawatannya.

Episod itu tergambar begitu ironi kerana Dr Mahathir, tokoh utama yang melaksanakan dasar istimewa kepada orang Melayu dalam perniagaan dan pendidikan, secara terbuka mengaku masih ada yang gagal dicapai biarpun dasar perlindungan berasaskan kaum itu ada.

Ironi itu juga ternampak hari ini apabila Dr Mahathir sekarang menerajui pakatan pembangkang, yang pemimpinnya pada suatu masa pernah beliau perlekehkan dan dipenjara di bawah pentadbirannya.

Berikut petikan wawancara berkenaan:

TMI: Ada tidak pemimpin yang boleh ubah sifat dan sikap orang Melayu, seperti yang Tun pernah harapkan muncul suatu masa nanti, selepas Tun minta maaf kerana gagal dulu? Apakah pemimpin itu sudah ada?

Dr Mahathir: Jauh daripada ada, bahkan bukan saja tak ada tetapi kemungkinan itu sudah jadi kurang daripada harapan saya. Yang ada ini, kedua-dua pemimpin tak ada idea langsung macam mana nak tukar budaya nilai hidup orang Melayu.

Bagi saya, jaya ataupun tidaknya seseorang, satu kelompok, satu bangsa bergantung kepada budaya iaitu pegangannya kepada nilai hidup. Kalau dia itu utamakan kerja kuat, rajin, dia boleh berjaya. Kalau dia (bersikap) tak apalah, ambil mudah, tak apalah boleh buat esok, dia akan gagal.

S: Apakah muktamad Tun tidak akan berpatah balik menyertai Umno?

Dr. Mahathir: Saya tidak akan balik (kepada Umno). Umno sudah jadi terlalu rosak. Sikapnya sudah berlainan. Ia lebih utamakan kepentingan diri untuk kekayaan. Mereka terlibat dengan rasuah. Ia sudah jadi sebuah parti yang tidak ada prinsip sama sekali, masing-masing nak cari duit dalam parti.

Saya tidak boleh sertai parti ini. Habis terus (sampai ke akar umbi). Yang mana bersih sikit, sudah keluar.

S: Tun berjuang sekarang untuk jatuhkan Najib atau tolak Umno?

Dr Mahathir: Pada mulanya saya fikir kalau tolak Najib, Umno boleh dipulih. Tetapi Umno tak dapat pulih dah. Semua mereka terlibat rasuah. Pemimpin, ahli cuma nampak duit saja. Hendak duit itu, hendak duit ini… apabila Najib beri duit, terima.

Ini bukan parti yang berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air. Ia berjuang untuk kepentingan diri. Saya tidak boleh jadi ahli dalam parti yang semacam ini.

Namanya Umno tetapi prinsip dan perjuangan Umno sudah tidak ada sama sekali. Cuma yang ada dalam Umno sekarang ini orang yang hendak cari makan… lebih daripada makanlah.

Semasa saya jadi perdana menteri ramai juga yang datang jumpa saya dan kata “saya sudah 15 tahun dalam Umno (tapi) tak dapat apa pun”. Saya terangkan you dapat. Anak you dapat scholarship, pergi sekolah, masuk universiti. Jalan kampung ada tar. Kampung semua ada air, ada api, ada sekolah, ada klinik. Tapi dia kata dia tak dapat (untuk dirinya) sendiri. Dia hendak duit.

Inilah pemimpin Umno sekarang ini. Dia bukan berjuang untuk bangsa, untuk agama, untuk negara… tidak. (Dia berjuang) untuk aku dapat duit.

S: Umno yang Tun gambarkan ini tentulah tidak muncul dalam sekelip mata. Tun memimpin Umno selama 22 tahun. Apakah Tun tidak terlibat membentuk Umno jadi seperti apa yang Tun katakan ini?




Dr Mahathir: Ya, saya nampak trend ini. Itu sebab saya kata pada masa saya pun ada ahli dan pemimpin Umno yang kata mereka sudah lama dalam Umno tetapi tak dapat apa pun. Saya terangkan mereka dapat. Kalau tidak pada diri dia pun, pada bangsa dia dapat, maruah bangsa meningkat. Semua ini adalah hasil perjuangan parti. Tetapi apabila Najib take over, tumpuan adalah untuk dapat duit saja. Hendak duit. Hendak jawatan. Hendak gelaran.

Jadi perjuangan (parti) sudah beralih daripada maruah bangsa, ketinggian bangsa kepada aku dapat apa. Ini bukan jiwa Umno lagi. Umno yang ditubuhkan (untuk melawan Malayan Union) tidak berjanji hendak beri apa-apa kepada ahlinya.

S: Bagaimana Umno sekarang pada pandangan Tun?

Dr Mahathir: Ia sudah tidak boleh dibaiki lagi, sudah rosak binasa.

S: Adakah Bersatu ini Umno yang baru? Umno 2.0?

Dr Mahathir: Orang Umno ramai ada dalam Bersatu, memang. Orang ini kecewa dengan perjuangan Umno. Bukan kecewa kerana mereka tak dapat (apa-apa) tetapi kecewa kerana perjuangan Umno sudah tidak lagi sama dengan Umno yang ditubuhkan dulu.

Seterusnya sila sambung bacaan anda di SINI

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails